Friday, 12 June 2015

Mahasiswa dan Negara

Assalamualaikum,
Berhabuk dah belog nie. Lama tak mengarang.
Asalnya entry kali nie nak di-MalaysianInsider-kan ataupun nak hantar ke BH ke. Tapi apakan daya termaktub disini sahaja. InsyaAllah, nak cari topik lain untuk dibincangkan lagi nanti. Kalau ada kekuatan baru dikomersialkan skil-skil yang ada nie. Eh. haha.

Kalau ada nak buah penambahbaikkan atau tak puas hati. tinggalkan comment eh. Saya dahulukan dengan ucapan kemaafan dari saya masih cetek ilmu dan masih berusaha mencari dan mengali.

~~~~~~~



Mahasiswa dan Negara.

‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’, pepatah Melayu yang sering digunakan tatkala mengarang karangan SPM dahulu. Melayu penuh dengan kesantunan budi bahasanya, lengguk kata yang berirama semestinya membawa maksud penting untuk anak bangsa. Melayu takkan hilang! Bagaikan tergiang-iang kata-kata Hang Tuah, si pendekar Melaka. Orang zaman dahulu semangatnya kuat bak pahlawan perang.

Ingin membina sebuah Negara yang maju untuk bersaing dengan negara-negara maju yang lain memerlukan seorang nakhoda yang tabah mengharungi badai lautan, bijaksana dalam mengaturkan layar dan memimpin anak-anak kapalnya. Maka mahasiswa hari ini lah bakal nakhoda yang kita perlu bentuk dan didik. Mendidik mahasiswa diumpamakan mendidik seorang pemimpin. Jika di buka kembali lembaran kisah pemimpin Islam yang gilang gemilang namanya, berjaya menawan Kota Constantinople iaitu Muhammad Al-Fateh, beliau di didik oleh ayahandanya sejak kecil dengan pendidikkan peperangan dan kententeraan sehingga beliau berjaya menjadi seorang pemimpin yang mampu memimpin tentera dan empayarnya diusia yang sangat muda.

Begitu juga jika mahasiswa Malaysia hari ini diberikan ruang dan peluang untuk belajar mengunakan perisai dan pedang untuk mempertahankan bumi Malaysia ini dari anasir luar. Mahasiswa hari ini bukan lagi mahasiswa dahulu yang hanya belajar inginkan sesuatu kekayaan dunia. Mereka hari ini adalah mahasiswa yang berjuang demi sebuah Negara. Berjuang untuk mempertahankan tanah tumpahnya darah datuk nenek ibu dan ayah mereka. Mendidik mahasiswa yang terdiri daripada 100 orang di sebuah bilik kuliah ibaratnya seperti mendidik seorang pemimpin. 

Cabaran mendidik mahasiswa ini makin mencabar dari hari demi hari dan tahun demi tahun seiring dengan kemajuan teknologi masakini. Malangnya, kemajuan teknologi tidak mampu memajukan lagi generasi kini untuk lebih berfikiran jauh. Mereka hanya bermain di dalam kotak empat segi di tangan mereka, melakar masa depan kononnya hanya dengan mengerakkan jari telunjuk. Tapi fikiran dan akal tidak digunakan sepenuhnya. Jika inilah gambaran generasi akan datang dan pemimpin kita kelak, apa yang bakal terjadi pada Negara kita? Semakin maju atau sejarah bakal berulang kembali? 

Mahasiswa merupakan asset utama bagi sesebuah Negara. Mereka inilah pemimpin yang bakal memimpin Negara akan datang. Oleh itu kebebasan untuk berakademik dan berpolitik seharusnya dibenarkan untuk mereka mengkaji dan menganalisa situasi sekarang untuk dibaik pulih semula. Hanya segelintir mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini, namun mereka dihalang kerana menyedari kelebihan mereka untuk memimpin, sedangkan beribu dan berjuta lagi mahasiswa yang hanyut dengan teknologi diketepikan dan dibiarkan mereka hidup dengan cara yang lebih menyesatkan. 

Jika dikaji kembali sejarah Nabi Musa dan Firaun, bagaimana dua orang pemimpin yang berbeza, satunya pemimpin yang zalim, memimpin empayarnya dengan kekejaman dan pendustaan, tetapi masih mempunyai pengikut. Satu lagi seorang pemimpin yang baik dan telus, juga mempunyai pengikut yang setia, namun diakhirnya hanya satu yang akan memenangi pertempuran. Malaysia adalah sebuah Negara yang aman yang makmur, namun marcapada ini, berita-berita yang tersiar dan tercetak dimedia sosial amat menyedihkan, kes pembuangan bayi, kes khalwat dan pesta liar semakin berleluasa tanpa ada satu pun inisiatif yang dijalankan. Mungkin ada tetapi tidak dikomersialkan. 

Lain pula pabila seorang mahasiswa yang berjuang mempertahankan keadilan, tetapi dia dihalang dan diburukkan dimedia-media. Pepatah, ‘monyet di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’, mungkin sesuai untuk mengambarkan situasi ini. Di mana hak mahasiswa untuk belajar dan mengaplikasikan pengetahuan mereka? Mereka bakal menakluk empayar dan tokok kepimpinan Negara, adakah salah untuk mereka belajar dan membantu untuk memperbetulkan apa yang perlu diperbetulkan dan memperjuangkan apa yang perlu diperjuangkan?

Mahasiswa hari ini diajar untuk diam dan patuh. Darah muda sampai bila boleh dikawal? Suatu masa darah itu bakal meletus dan mengalir diseluruh pelusuk demi sebuah Negara yang adil dan makmur. Mahasiswa dan Negara tidak mungkin dapat dipisahkan. Suatu hari kelak, Negara ini bakal dipimpin oleh seorang mahasiswa. 

~~~

Saya tau tak puitis. haha. Saya akhiri dengan sebuah seloka.

Kami mahasiswa,
Bukan pelajar biasa,
Kami perjuang bangsa,
Kelak tanah ini akan kami tuntut,
Demi masa depan generasi kami.

Kami mahasiswa,
Jangan halang kami,
Jangan hentikan perjuangan kami,
Kerna darah kami akan jadi benih yang bakal menyuburkan anak bangsa kami,
Yang bakal kau geruni.

Wassalam. (^_^)v

No comments:

segala yang terdapat dalam blog ini adalah hak milik KINA